daengazzli.com

NINGSUN

NINGSUN
Di mana ningsunku
aku akan pulang
selepas berhari-hari
di ibu kota
dan sedang berkemas
tapi aku tak tahu
apa
cinta juga aku lipat
di kemejaku
dan membawanya naik
kapal terbang atau
aku tinggalkan saja
ia menjadi kebun hujan
sedang rindu
mula mengasah
tulang rusuk
menjadi mata pisau
dan darahku mula
menggelagak khuatir
ditikamnya
akan adakah darahku
ketika pertemuan lain nanti?
YATIM AHMAD
Kuala Lumpur
22 Ogos 2017

ANTARA KOTA KE KOTA , Mungkin antara ketidak tahuan mengenai suatu bandar, aku cuba meramahi orang dan bertanyakan sesuatu, antara hiruk piku ibu...

ANTARA KOTA KE KOTA
Mungkin antara ketidak tahuan mengenai suatu bandar, aku cuba meramahi orang dan bertanyakan sesuatu, antara hiruk piku ibu kota, aku menjauhi makanan enak, makan di gerai-gerai dan menulis sesuatu.
Pada satu ketika aku berharap agar orang kelilingi sudi meramahi. Misalnya, seorang perempuan begitu baik membantu aku masukan duit di mesin membeli tiket tren, kemudian menunjukkan bahagian terminal ke distinasi,
Di tren, aku berdiri sahaja sambil bergayut dan beberapa penumpang memerhati dan matanya beralih ke tempat duduk yang kosong, aku seperti faham keramahan itu, meminta aku duduk.
Pada selalu malamnya, aku lapar, lalu hentikan catatan2 di komputer riba, turun dari hotel dan mahu mencari makanan, "Sekarang sudah pukul 4 tuan, waktu sarapan bukan makan nasi. Apa kamu terlewat makan?"
aku tangannnya dan melihat jam tangan, "Astaga! Ingatkan baru pukul 12 malam?"
"Apa?"
"Ok tidak mengapa..terima kasih,"
"Kamu bukan orang semenanjung..mungkin Indonesia, logat kamu.."
"Sabah, saudara,"
"Oh! KIta dibezakan setengah jam, tetapi kenapa baharu ingat makan malam pada jam 4 pagi begini?"
"Saya baru nak sesuaikan masa di sini," lalu lelaki tua yang mulanya berbaring di sebelah tembok hotel, berkata kepadaku,"Masa mengajar kita sesuatu. Ia lembut tetapi selalunya kejam kepada mereka yang tak mahu merancang apa yang perlu kita kerjakan esok ke esok, tuan,"
Aku merenung lelaki tua itu, rambut putih disikat dengan tangan, kumis dan jangutnya agar terbiar, kukunya hitam dan kemejanya berbau peluh. Ada seorang budak lelaki di sebelahnya masih tidur. Aku diberitahu, selepas mengumpul tin minuman kosong, mereka pulang ke rumah, entah di mana, dan kembali lagi pada malamnya, mencari sesuap nasi pada tin-tin kosong.
Tanpa memperdulikan renunganku, dia bangun, menghempas selimut yang kusam, lalu mengemas tempat tidur dan beredar membawa bakul besar di belakangnya.
Di kejauhan aku melihat dia menyelongkar tong sampah, sebelum datang kenderaan pengangkut sampah.
Dia mengumpul tin-tin kosong, Mungkin itulah rezekinya, tapi dia tahu hargai masa. aku? Sekarang aku rindu mahu pulang ke Putatan. di sana aku diurus keluarga, anak-anak pun pasti bertanya aku sudah sarapan atau belum. Malam biasanya anak perempuanku buatkan kopi sebelum dia tidur. Dia tahu bapanya menulis hingga dini.
Di kota raya ini, hanya perut tahu merintih, itu pun ikut masa, mahu diisi. Sekarang baru aku tahu, mungkin perut ini hanya untuk kasih sayang kalau lapar semata, mungkin juga kejam kerana ia tak memperdulikan orang bukan sekadar lapar atau haus, tapi ketika ia bersengkokol dengan hawa nafsu menjadi tamak haloba
Aku mahu pulang

SAJAK BELANTARA

SAJAK BELANTARA
(Catatan Cameroon Highland-Kuala Lumpur)
i
Bagaikan sebuah takdir lain kita menyerah perjalanan ini menentukan masa hadapan, ketika persetiaan digenggam erat pun bakal teruji kerana jarak perjalanan dan masa selalu sahaja menciptakan rindu tergoda sepi
Pertemuan ini Non bakal menuntut janji berulang-ulang kerana musim penyesuaian yang singkat begini pun belum lagi teruji namun bagaikan tergoncang riak cemburu walau hanya pertanyaan seimbas lalu
Ia seperti kekhuatiran terkadang menjadi penghalang mempertahankan keyakinan
Kerana kita selalunya bertanya siapakah membuat panggilan-panggilan ketika saling meramahl masa hadapan pada perkasihan ini hingga timbul persoalan lain bahawa kau atau aku belum melupakan kenangan-kenangan sedang ia bagai baharu sahaja berlaku kelmarin
ii
Sejarah Non, ia seperti hujan meninggalkan bekas di batu-batuan walau sepejal ia sukar dipecahkan, begitu hati kita, bahawa kejujuran perhubungan masa lalu setidaknya akan diungkit kembali dan kita pun menuntut keberanian untuk berterus terang apakah kau atau aku kembali kepadanya kerana pujukan yang tak henti-henti
iii
Kau bertanya aku mengenai hujan, lalu aku menjawab bahawa aku tak ingin sejuk atau dinginnya yang lalu menjadi penyesalan kerana musim-musim yang menyusulnya tak mengubah airnya menjadi hanya buih dikeringkan matahari
Atau kita pun terkapai-kapai menunut agar ingatan seperti mimpi cakerawala yang tak lagi berbekas selepas terbangun esok pagi
YATIM AHMAD
Puchong
20 Ogos 2017

.

.
NON
aku ingin mengenalmu Non
ketika kauimiginasi kugapai
bagai kau seulas angin pun
tak tersentuh
kucari kau antara kekasihku
seperti menjauh namun ada
Siapakah yang berikan
aku peta ke negeri ilhammu
agar kutuai segugus
bunga kembang pagi
menghulur terima kasihku
Dikaukah itu Non
ketika empunya Iqra
tenggelamkan makna
kata-kata disukmaku
kuanyam menjadi hujan
atau embun dini
menyambut pagi pada rahsia
dari sebuah fajar sebelum
matahari pun berdiri untuk
sebuah salam dan bahagia
pada suatu
kematian dan kehidupan
YATIM AHMAD
Puchong
18 ogos 2017
*cameroon highland

AKU CATAT PENGALAMAN NON

AKU CATAT PENGALAMAN NON
ANTARA PANTAI TIMUR, UTARA
DAN SELATAN UNTUK MENGENALI
KESETIAAN KITA
(Catatan Satu)
Perjalanan di lebuh raya ini antara sunyi menemani aku, Non, pada berkata-kata memahami suatu yang mungkin mengejutkan untuk memahami diri masing-masing, setidaknya kita ada hati tapi masih melayan ragu-ragu lalu menimbulkan perselisihan faham
Seperti di lebuh raya Kuala Lumpur ke Pantai Timur antara belantara dan angin yang memburu, serenyai hujan menyambut ketibaanku, demikian perjalanan hidup yang selalu sahaja meneka suatu yang tidak disandarkan kebenaran, bahawa jalan yang lurus kadang melekakan, selokan membuat kita gemar menguji kekuatan, pada kesesakan kenderan kita mengeluh
Tapi tak mengapalah, seperti mana aku memandu laju di jalan-jalan lurus ke Temerloh, dan memecut dicerun untuk menguji keberanian, demikian pada kehidupan ini, aku harus menerima segala akibat keberanian, sama ada aku bahagia atau tidak
Apa beza dalam kehidupan ini, kita terlalu banyak meminta suatu yang mungkin segaja diada-adakan untuk mahu mendapatkan segala setia sedang aku tak pandai berpura-pura, sekadar nyatakan bahawa kasih sayang ini tak kan dibelah bahagi lagi ketika rembang petang mula mewarnakan usia kita untuk masih terus berlengah dengan kemarahan
ii
Kemudian perjalanan Selatan ke Utara, dan singgah di pusat hentian Tapah, Perak, sedini ini, mungkin aku dapat lebih memahami untuk aku pinjam ketabahnmu melayani karenah hidup masa lalu yang dalam lukanya kaubebat sendiri dengan keberanian, untuk jahit luka-luka lamaku yang masih tak sembuh-sembuh
iii
Salam kasih sayang buatmu, cintaku kini
YATIM AHMAD
Pusat Hentian Tapah, Perak
13 Ogos 2017
* Masjid Bukit Angin, Temerloh
* Meja makan Pusat Hentian Tapah, Perak

SAJAK GERIMIS LAKI-LAKI KEPADA PEREMPUAN

SAJAK GERIMIS LAKI-LAKI KEPADA PEREMPUAN
Mungkin kau berharap melihat air mata laki-laki Non seperti cuaca cerah gerimis tak kau sedari kerana angin pun terdiam ia meluruh di hijau daun-daun tatkala matahari tak disembunyikan mendung
Siapakah khabarkan hati laki-laki kepadamu ketika hatinya rusuh disalahi suara perempuan seperti punca segala kekusutan jikalau tengkujuh lautan pecahkan karang-karang demikian hati laki-laki lukanya lebih patah tenggelam di dasar paling dalam
Usah kau terlalu mencabar atas nama kelembutan hatimu kerana aku akan menjadi lebih kejam kerana air matamu membuat tubuhku terbunuh sedang kau terus mencelah ia ego dan dayus
Dan jika aku terdiam terus kerana teruji dengan kemarahanmu, tataplah mataku dalam-dalam kerana waktu itu aku tidak wujud lagi di depanmu kerana kausku seperti mengembara jauh diluar atmosfera bumi membuang air mata laki-lakiku menjadi komet yang semakin tenggelam di belantrara cakerawala
ii
Untuk sebuah kesetian laki-laki usah kau katakan suatu yang tak pernah aku lakukan hingga aku pun kembalikan tuduhan kepadamu jauh lebih menyakitkan hatiku sendiri
Pernahkah kau melihat kematian lalu tertanam ditanah perkuburan nisannya Kemboja, seusai tahlil kau berasakan hening dan sepi, begitulah hatiku sekarang
Air mata laki-laki itu Non, seperti kau menyukai lautan ketika senja semakin larut, begitulah warna bertakung di sukmaku, berdarah pada kelam malam menjadi segugus bimasakti
YATIM AHMAD
Putatan - Kuala Lumpur
8 Ogos 2017

GERIMIS DI SUKMAKU NON , KADANG TAK BERHUJAN, Padahal disedari menulis sajak pun aku lembutkan rindu untuk kau baca tak kan sampai sekali di hujung...

GERIMIS DI SUKMAKU NON
KADANG TAK BERHUJAN
Padahal disedari menulis sajak pun aku lembutkan rindu untuk kau baca tak kan sampai sekali di hujung jemarimu terasa di elus Non, hanya gelisah diundang sampai mimpi mengelupur dan yang pernah kita lalui dahulu pun menjadi sebahagian gangguan tidur
Dan malam menjauhi hujan agar aku tak seperti pelaut yang terjatuh dari buritan lalu kepalaku terhantuk di permukaan geleggar ombak memukul sukmaku
Aku sebenarnya enggan menulis sajak begini hingga aku kau tafsir seperti orang kesunyian sedangkan aku masih belajar meleraikan segala kekusutan benakku tehadap masa-masa lalu yang hampir membunuh siumanku terhadap cinta dan kasih sayang
Bahawa disebalik perhubungan yang pernah direstui sebenarnya mengundang kecurangan kerana kewaspadaan menjadi diam dipangku keyakinan
Hingga satu masa antara kita teruji memainkan muslihat terang-terangan dan sekarang mengapa ada yang kembalikan kemarahan sedangkan yang memulakan persengketaan mencipta muslihat seolah-olah aku bersalah
Memang aku pun salah tetapi kesalahan itu selamanya mungkin aku terlalu mengalah lalu kuanggap setiap teguran itu seperti membaiki kesilapan sebaliknya alasan untuk meninggalkan aku terkapai-kapai hingga kudratku hampir habis mempertahankan setia dan aku kurus kering wajahku menjadi hitam
Hingga kini setahun pun sudah berlalu thali itu terputus sepatutnya aku dibiarkan membina nikmat berbahagia, untuk tak perlu dicemburui membina penghidupan lain yang mungkin membebat asaku yang pernah digerimiskan oleh tingkah laku seperti mata pisau yang sudah didarahkan niatmu lama sebelum aku teruji
ii
Kau tahu Non, sudah beberapa kali aku ceritakan hal-hal yang pernah memutuskan asa ini kala aku menyatakan rindu kepadamu hingga kau pun berasakan aku ingin kembali kepadanya lalu menimbulkan cemburu dan kau mula seperti menjauhi aku
Mungkin aku belajar lagi menjadi lebih dewasa pada usia yang semakin melewati rembang ini sementara sanubariku terus menerima perlakuan kekasaran agar aku dapat menulis seperti seorang penglipur lara yang hilang penontonnnya kerana gugatan zaman yang semakin melupuskan bahasa di jiwa bangsanya
iii
Beginilah aku selamanya. Menulis kata-kata seperti perbualan Uda dan Dara di hujung nyawa mereka hinggakan gerimis yang jatuh dikulitku menjadi kelukaan hingga darahnya tidak lagi merah dan air mata pun sudahlah kering menjadi garam tak lagi asin
Mungkin juga darah dan air mataku kini seperti di luar atmosfera bumi, menyembunyikan kesunyian yang gelap dan pahit
YATIM AHMAD
Putatan
8 Ogos 2017

SENJA DI KERETAPI

SENJA DI KERETAPI
PERMULAAN OGOS
ada momen tercatat di kaki pergunungan
angin berlembah dingin tapi aku berpeluh
pertama kali temu berjanji sebuah impian
membebat kesakitan lama beransur sembuh
memang aneh aku malu-malu berterus terang
ketika persahabatan uftinya cinta asalnya rindu
sesaat itu harapan pun tinggi seperti gunung
namun setipis kabus pun mengundang cemburu
setahu aku tak perlu kita seperti zaman kanak
sedikit sahaja diamku kau kata ada orang lain
sedangkan tahu aku masih jahit pahit kenangan
memang masih ada jurang yang berhalangan
dan kita kadang tergamak nekad berpisah sahaja
tergoncang kesal di gerabak keretapi kelas tiga
YATIM AHMAD
Putatan
7 Ogos 2017
#non_yatimahmad

GERIMIS TANPA PAYUNG

GERIMIS TANPA PAYUNG
i
Padahal ia hanya hujan kecil tak sampai pun membanjiri tanah sekadar membasahkan lembar daun kering lalu mengembalikan kenangan kehijauannya, sebelum warnanya terus coklet tua dan hitam lalu kembali ke asalnya, tanah
Mungkin juga seperti setangkai emos yang tak mampu mengugurkan air mata kerana luka sunyinya telah terbebat walaupun ia bukan hujan, apa lagi saat petang merembang di tangkai hayat, saatnya harus menyahut suara kekasih yang lama mendambakan kesetiaan yang pernah terucap dahulu
Bahkan ketika adanya waktu berseorangan, aku seolah-olah berkata kepada dia - apakah kau menerima aku semudah itu tanpa membangkitkan soal kecuranganku
ii
Kaukah kekasih yang tak pernah tersakiti, mungkin sabar menahan cemburu, untuk suatu hari perjanjian itu tiba tepat waktunya, kau membiarkan aku merayumu menerima kembali walaupun terpaksa terhempas di ajalku kerana ia amat benci menunggu lama untuk salam terakhir
Salam kepada suatu kehidupan bakal mengucapkan takziah
YATIM AHMAD
Putatan
4 Ogos 2017
*emos- emosi
#non_yatimahmad

SEPOHON HUJAN ITU MULA MENCINTAI BUNGA , Hujan semakin enggan berperikemanusiaan lagi

SEPOHON HUJAN ITU MULA MENCINTAI BUNGA
Hujan semakin enggan berperikemanusiaan lagi. Ia bosan membawa kenang-kenangan yang dahulu hijau tak pernah berbunga lagi, ia ingin menjadi mata pisau, yang benar-benar melukakan agar darah mengucur di tubuh ingatan
Sebenarnya ia mahu menjadi bunga sahaja dan manusia jadi hujan agar mereka dapat hapuskan momen yang sering membuat air mata mereka seperti air anak sungai di celah batuan, mana tahu mendung pun berwarna warni seperti pelangi
YATIM AHMAD
4 Ogos 2017